Saturday, April 28, 2007

Tajuk: Al-Qur'an dan fadhilatnya

Tajuk: Al-Qur'an dan fadhilatnya

Saudaraku semuslim yang dirahmati Allah,

Setiap nabi dan rasul diberikan mukjizat. akan tetapi semua mukjizat tersebut telah hilang bersama kewafatan para nabi dan rasul. Hanya satu sahaja mukjizat yang masih wujud dan dapat kita lihat, sentuh, baca dan dengar. Itulah mukjizat nabi kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu Al-Qur'an Al-Karim, yang telah Allah janjikan untuk memelihara dan melingdunginya sehingga ke hari Kiamat. Ini termaktub dalam firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hijir, ayat 9:

Ertinya: "Sesungguhnya telah Kami turunkan peringatan ini (Al-Qur'an) dan sesungguhnya Kami lah penjaga baginya."

Saudaraku semuslim yang dirahmati Allah,

Al-Qur'an telah dijaga dizaman Rasulullah s.a.w dengan ditulis di pelepah-pelepah kurma, kulit-kulit kayu dan sebagainya. Di zaman Saidina Abu Bakar r.a ianya dikumpulkan di dalam satu mushaf. Di zaman Saidina Uthman, ia dikumpulkan di dalam beberapa mushaf dan dibahagi- bahagikan ke beberapa kawasan. Di zaman kita Al-Qur'an telah dicetak di dalam banyak mushaf sehingga tersebar luas dan mudah untuk kita mendapatinya.

Namun, penjagaan yang paling istimewa dan paling terpelihara ialah ia dihafal oleh Rasulullah s.a.w dan hafalan itu telah disemak ketepatannya oleh malaikat Jibril, kemudian dihafal pula oleh para sahabat r.a dan Rasulullah s.a.w pula yang menyemak ketepatan hafalan mereka. Kemudian dihafalkan pula generasi berikutnya dan disemak oleh generasi sebelumnya. Begitulah cara penyemakan Al-Qur’an dari generasi ke generasi sehingga kita boleh menyusur silsilah penyemakan Al-Qur’an ini hingga ke Rasulullah s.a.w.

Saudaraku semuslim yang dirahmati Allah,

Cara menghafal adalah merupakan cara yang paling baik bagi menjaga Al- Qur'an kerana bilamana Al-Qur'an itu telah dihafal, ia mesti dibaca setiap kali dan hari agar ia tidak dilupakan kerana meninggalkan bacaan boleh mengakibatkan lupa terhadap apa yang telah dihafalkan. Dengan menghafal dan membacanya setiap hari, beberapa sebab dan fungsi mengapa Al-Qur'an diturunkan telah tercapai.

Menghafal Al-Qur’an bukanlah suatu yang hampir mustahil untuk dicapai. Sejarah telah membuktikan bagaimana orang-orang yang tidak faham bahasa Arab juga dapat menghafal Al-Qur’an dengan baik. Sejarah juga telah menunjukkan kepada kita bahawa orang-orang yang sudah dewasa juga mampu untuk menghafal Al-Qur’an. Bak kata pepatah: jika hendak, seribu daya. Tidak ada dalam Islam istilah terlalu tua untuk menuntut ilmu, apatah lagi menuntut ilmu Al-Qur’an dengan menghafalnya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qamar, ayat 17:

Ertinya: "Dan sesungguhnya kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk diingati, maka tidakkah ada orang yang ingin mengingatinya?"

Orang-orang yang menghafal dan mempelajari Al-Qur’an adalah orang- orang yang dipilih oleh Allah s.w.t. Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya:

Ertinya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya."

Sebaliknya orang yang tidak membaca Al-Qur'an apatah lagi menghafalnya adalah seperti rumah yang hancur roboh. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Ertinya: "Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sedikit pun dari Al-Qur'an adalah seperti rumah yang hancur roboh."

Saudaraku semuslim yang dirahmati Allah,

Kita sedar tentang peri-pentingnya membaca Al-Qur’an dan fadhilat- fadhilatnya. Antara fadhilat-fadhilat membaca Al-Qur’an ialah seseorang akan lebih terang hatinya dan lebih tenteram kehidupannya. Al-Qur’an adalah pengubat bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’, ayat 4:

Yang bermaksud: "Dan kami turunkan Al-Qur’an didalamnya ada penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Dan tidaklah bertambah kepada orang-orang yang zalim kecuali kerugian semata-mata."

Diantara fadhilat membaca Al-Qur’an juga ialah ia akan menerangi kubur kita kelak. Ia juga akan memberi syafaat kepada kita di hari Kiamat. Orang yang membaca Al-Qur’an juga akan dijaga oleh Allah dari penyakit- penyakit yang hina apabila tua kelak. Dalam satu riwayat, Saidina Ali r.a pernah berkat bahawa orang yang sentiasa membaca Al-Qur’an tidak akan ditimpa dengan penyakit nyanyuk atau dipandang hina apabila tua kelak.

Kalau begitu besar fadhilat-fadhilat yang menanti mereka yang membaca Al-Qur’an, apatah lagi bagi mereka yang menghafal Al-Qur’an, yang membacanya siang dan malam agar menjaga hafalan mereka, yang mengisikan dadanya dengan Al-Qur’an sehingga terpancar di hadapan mata mereka lebaran-lebaran Al-Qur’an.

Begitu besar fadhilat menghafal Al-Qur’an sehingga ramai umat Islam berkejaran untuk memastikan anak-anak mereka bukan sahaja tahu membaca Al-Qur’an malah menghafalnya juga, kerana anak yang soleh akan mendoakan ibu bapanya apabila mereka mati kelak, kerana anak yang menghafal Al-Qur’an akan dapat menyelamatkan ibu-bapanya dari siksaan api neraka.

Maka, pada hari yang mulia ini, diatas mimbar masjid ini, saya menyeru kepada masyarakat Islam, saya menyeru kepada ibu-bapa yang meletakkan Islam sebagai panduan hidup mereka, marilah kita memastikan anak-anak kita mengenal huruf Al-Qur’an dan dapat membacanya dengan lancar. Seterusnya, galakkan mereka menghafal Al-Qur’an. Janganlah kita biarkan generasi akan datang lebih kenal tentang penyanyi dan pelakon dari surah- surah Al-Qur’an. Janganlah kita tinggalkan warisan yang lemah dan jahil akan ugama mereka sendiri. Ingatlah bahawa kita akan dipersoalkan kelak akan zuriat yang kita tinggalkan di atas bumi ini.

Kita bersyukur kerana di negara kita ini banyak ditubuhkan pusat mengenal huruf Al-Qur’an dan menghafalnya. Maka rebutlah peluang ini. Janganlah kita ketinggalan dalam menimba ilmu Al-Qur’an. Kita gunakan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita dengan berbakti ke jalan Allah, dengan memperbanyakkan lagi para hafiz Al-Qur’an di negara kita.

"Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada lurus perjalannya. Dan ia memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa untuk mereka ganjaran yang besar." (Al-Isra’, 9)

Baarakallah.....

1 comment:

Anonymous said...

kalo Hafal Al Qur'an dalam Sebulan? pasti mau!
di sini bukunya:
http://islamarket.co.cc